Monday, March 21, 2011

HUKUM ALLAH DIPERSENDA




Kefardhuan menutup aurat datangnya dari Allah

15 Rabi'ul Akhir 1432 H | 20 Mac 2011

Oleh : Ahmad Fadhli bin Shaari, SU Akhbar MB Kelantan (20 Mac 2011)


Saya merujuk kepada artikel yang tersiar di muka 10, akhbar New Straits Time bertarikh 19 Mac 2011 yang bertajuk Nik Aziz’s Outlandish Edicts (Fatwa Pelik Nik Aziz). Saya kira penulis artikel tersebut Azmi Anshar berniat jahat dengan tujuan menjatuhkan kredibiliti al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan sewaktu menulis artikel yang sebahagian besarnya mengandungi unsur-unsur prejudis terhadap Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

Dari para pertama lagi, penulis menampakkan kedangkalannya apabila menyentuh berkenaan dengan gesaan YAB Tuan Guru supaya wanita Kelantan berpakaian sopan dan menutup aurat. Penulis menyifatkan gesaan ini sebagai 'seemingly denuded women of their long-held rights to dress, appear and behave as they always had in Malaysia' (kelihatan menafikan hak wanita selama ini yang bebas untuk berpakaian, muncul di khalayak dan menampilkan diri sebagaimana kebiasaan wanita di Malaysia).


Hairan sekali, apabila seorang penulis yang namanya mencerminkan dirinya sebagai seorang muslim boleh mempertikaikan apa yang disebut oleh Menteri Besar Kelantan itu. Sedarkah penulis, bahawa pakaian menutup aurat bukannya difardhukan oleh Nik Aziz, apa lagi Muhammad SAW, bahkan ia merupakan kefardhuan daripada Allah SWT. Tidak malukah penulis sebagai seorang muslim mempertikaikan kata-kata Menteri Besar Kelantan itu dalam keadaan dirinya masih merupakan seorang yang bersyahadah; bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah?


Dengan kuasa yang diamanahkan, nilai-nilai
Islam berjaya diterapkan di Kelantan
Perlu diingatkan, bermula tahun 1990, Tuan Guru Nik Abdul Aziz hanya menyebut isu aurat sebagai satu teguran kepada rakyat dan juga kakitangan wanita yang bekerja, tidak pernah ada satu tangkapan yang dibuat terhadap mereka yang tidak menutup aurat sehinggalah pada tahun 2005, barulah diperkenalkan kod berpakaian dan dikenakan denda kepada mereka yang melanggarnya. Adakah ini merupakan satu perkara yang pelik sehingga dianggap fatwa pelik oleh Azmi Anshar?

Sedarkah Azmi bahawa di Amerika Syarikat sendiri pada hari ini, fesyen berseluar londeh dan mendedahkan pakaian dalam juga telah dilarang demi memastikan keamanan dan ketenteraman awam. Tidakkah itu juga merupakan satu fatwa pelik? Atau Azmi Anshar ingin berkata bahawa PAS juga wujud di Amerika? Demikian juga di China, pakaian seksi sehingga mengganggu mata orang lain juga turut dilarang di atas alasan menjaga ketenteraman awam. Apa jawapan Azmi Anshar terhadap langkah kedua-dua negara ini?


Artikel ini juga bagi saya penuh fitnah terhadap dasar 'Membangun Bersama Islam' yang diperkenalkan di Kelantan. Seolah-olah kerana dasar inilah wanita di Kelantan ditindas. Barangkali Azmi Anshar ini seorang penghuni gua yang baru keluar melihat cahaya.


Sedarkah beliau bahawa di Kelantan lah, golongan wanita dibela dengan pelbagai dasar kebajikan yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri. Di sini terdapat skim perlindungan kepada armalah, cuti wanita bersalin selama 60 hari, penggalakan wanita yang bekerja di kilang-kilang agar diberikan shif bekerja pada waktu siang sahaja, perlantikan Senator daripada kalangan wanita dan juga perlantikan penghulu khas untuk golongan wanita.


Semuanya ini merupakan cetusan perubahan yang dimulakan oleh 'kerajaan yang menindas wanita' seperti yang digambarkan oleh penulis Azmi Anshar. Dan jangan lupa, di saat cuti dua hari seminggu yang dinikmati oleh kakitangan awam di seluruh negara pada hari ini termasuklah golongan wanita, ia bermula di negeri Kelantan yang mana 'Doctor In The House' itu pernah melabelnya sebagai budaya pemalas!



Khatijah Sidek
Azmi Anshar juga mempertikaikan soal calon wanita yang bertanding mewakili PAS pada hari ini sebagai satu perubahan terhadap fatwa pelik Nik Aziz. Kasihan sungguh apabila beliau tidur selama dua dekad sehingga gagal untuk melihat punca wanita tidak digalakkan bertanding sekitar tahun 1970an – 1990an.

Sedarkah Azmi Anshar, parti yang pertama meletakkan calon wanita ialah PAS melalui calonnya Khatijah Sidek yang bertanding di kerusi Dungun, Terengganu pada tahun 1955. Pada waktu itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz masih berada di luar negara dan masih belum mengeluarkan pandangannya (atau dalam istilah Azmi Anshar sebagai fatwa pelik). 
Apa yang menyebabkan golongan wanita agak terkebelakang satu ketika dahulu ialah kerana permainan politik kasar UMNO yang menggunakan politik ala samseng dengan pemuda tahan lasaknya dan lain-lain. Senario ini meletakkan ahli politik terutama dari pembangkang seperti PAS dalam keadaan bahaya dan ini tidak sesuai untuk dipikul oleh golongan wanita. Lupakah kita kepada tragedi yang berlaku kepada Allahyarham Abdul Samad Gul, ahli parlimen PAS yang mati dibunuh satu ketika dahulu? Lupakah kita kepada insiden-insiden berdarah yang menimpa penceramah-penceramah PAS satu ketika dahulu?
Islam Hadhari tinggal kenangan

Hari ini, senario tersebut beransur reda dan wanita dibenarkan kembali untuk berada di pentas politik ekoran keselamatannya yang sudah agak terjamin berbanding sebelum ini. Azmi Anshar perlu sedar, polisi tersebut bukannya satu fatwa, tetapi pendirian sementara mengikut senario semasa. Sepatutnya Azmi Anshar lebih fokus kepada agama yang diperalatkan oleh UMNO yang hanya bersifat sementara. Islam Hadhari sebagai contoh, di longkang mana ia dicampakkan pada hari ini setelah ia dijulang bagaikan ratib wajib satu ketika dahulu?


Melabelkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai anti wanita ialah satu tuduhan songsang yang sangat tersasar. Jangan dilupa cadangan Tuan Guru agar diberikan peluang kepada Muslimat PAS menjawat jawatan sebagai Naib Presiden PAS beberapa tahun yang lampau. Bolehkah UMNO membuka pintunya seluas itu? Tentu sekali tidak, kerana jawatan dalam parti UMNO umpama lubuk yang boleh menjanjikan seribu satu projek dan tender.


Azmi Anshar tidak berjaya membuktikan apa-apa melalui tulisannya, hanya sekadar memenuhi separuh muka surat akhbar NST dengan satu tulisan sampah yang tidak mempunyai apa-apa nilai. Sekian.

Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Friday, March 18, 2011

Jemaah Itu Keperluan, Ummah Itu Tujuan - SAIFULISLAM.COM

“SAYA kena sertai semua kumpulan. Kalau ikut satu sahaja, nanti jadi Jamaah Centric!”, kata seorang siswa.
“Lebih baik aku bebas. Tak terikat dengan mana-mana kumpulan. Mana-mana ada kelas pengajian, aku akan pergi. Ini baru Ummah Centric”, komen seorang pelajar pula.
Kebelakangan ini, isu Jamaah Centric Vs. Ummah Centric hangat diperbincangkan oleh masyarakat kita. Hal ini lebih ketara dilihat berlaku di kalangan masyarakat pelajar yang lebih dekat kepada sumber gagasan idea ini iaitu al-Fadhil al-Ustaz Maszlee bin Malik, seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa. Pelbagai bentuk maklum balas yang timbul, sama ada dalam bentuk perkataan dan tulisan, mahu pun tindak tanduk yang mencetuskan satu senario di kampus hari ini.

Di peringkat awal, saya mengambil lontaran idea ini sebagai sesuatu yang wajar diberikan persetujuan, sekurang-kurangnya pada isi-isi utama yang diketengahkan melalui artikel di Majalah I. Pada saya, idea awal di bawah kerangka pemikiran Ummah Centric mempunyai tujuan yang harmoni iaitu ke arah keterbukaan pemikiran semua individu yang terlibat di dalam gerakan Islam untuk meraikan perbezaan pandangan sesama mereka, menuju kepada kepentingan makro iaitu maslahah Ummah sejagat. Saya boleh bersetuju di peringkat ini.
Akan tetapi, selepas menonton VCD ceramah Ustaz Maszlee bin Malik di rumah Kapten Hafiz Firdaus, saya menjadi keliru dan penerimaan saya terhadap idea tersebut terganggu. Saya menontonnya buat kali yang kedua, dan keserabutan fikiran saya akibatnya, makin ketara. Saya terpaksa mengambil masa yang panjang untuk menyusun cabang-cabang fikiran saya dan akhirnya, menulislah yang boleh menjadi cara terbaik untuk saya strukturkan kefahaman saya terhadap gagasan Ummah Centric yang dikemukakan oleh al-Fadhil ustaz.
Tambahan pula, Ustaz Maszlee bin Malik adalah rakan sepengajian saya. Kami saling mengenali semenjak 1993 dan saya menghormatinya sebagai seorang rakan yang ilmuan. Maka saya berusaha sedaya upaya untuk mengenengahkan analisa ini dengan tatasusila peribahasa Melayu kita, “seperti menarik rambut di dalam tepung; rambut tak putus, tepung tak tumpah”. Mudah-mudahan apa yang saya tulis ini benar-benar dapat dibaca dengan bahasa dakwah dan diskusi ilmiah tanpa ada sebarang persepsi peribadi serta prejudis yang menyalahi kebenaran.
MERAIKAN PERBEZAAN
Keterbukaan kumpulan-kumpulan Islam untuk bertolak ansur terhadap perbezaan sesama mereka, adalah suatu tuntutan yang memang tidak dapat dinafikan. Ia menjadi kunci kepada sejauh mana mereka boleh memberi kesan yang berbekas di tengah masyarakat, dan sejauh mana masyarakat boleh memberikan kepercayaan untuk suara Islam memimpin arus perdana.
Saya percaya, keupayaan untuk bekerjasama di antara kumpulan-kumpulan Islam ini sudah pun terlaksana di peringkat pemimpin, malah menjadi pendekatan ‘rasmi’ bagi hubungan diplomatik antara kumpulan. Walau bagaimana pun, impian pemimpin untuk mewujudkan keharmonian antara kumpulan Islam di peringkat akar umbi, tidak semudah melakarkannya di atas kertas. Pergeseran berlaku dari semasa ke semasa, walaupun masing-masing sedar yang fenomena malang itu menjadi bahan ketawa golongan Islam liberal yang sinis.
Malah kadang-kadang kumpulan Islam ini menerima padah sehingga menjadi seperti Pak Pandir yang menang bersorak, tetapi kampungnya tergadai. Kumpulan Islam tumbang di kampus-kampus, dan berleluasalah maksiat dan hedonisma sebagai budaya kampus hari ini. Tiada lagi amar makruf dan nahi munkar, hasil kesalahan sendiri yang mempertaruhkan kampung, semata-mata mahu memenangkan ayam laga masing-masing.
Saya kira, mungkin inilah latar belakang kepada timbulnya idea Ummah Centric oleh al-Fadhil al-Ustaz Maszlee bin Malik. Beliau yang bertugas sebagai pensyarah universiti dan setiap harinya adalah bersama masyarakat kampus, tentu mahu melihat kepada penyelesaian fenomena yang merugikan ini. Saya suka untuk bersama dengan beliau di dalam niat yang murni itu.
Namun, tembakan peluru yang tidak menepati sasaran, akan hanya menghasilkan satu antara dua. Sama ada kita bazirkan peluru, atau paling malang, ada pihak lain yang tidak bersalah terbunuh akibat peluru sesat itu tadi. Ketika kita mahu merawat TAASUB ahli kumpulan kepada idea kumpulannya, yang tersinggung bukanlah SIKAP dan PEMIKIRAN TAASUB tersebut, tetapi konsep berkumpulan dan berJAMAAH itu yang menjadi mangsa peluru sesat berkenaan.
Lantas timbul idea Jamaah vs. Ummah. Apakah kepentingan Jamaah secara default bertentangan dengan kepentingan Ummah? Apakah yang boleh wujud hanyalah Ummah, manakala Jamaah pula menjadi batu penghalang kepada gagasan Ummah? Mengapa mesti Jamaah VERSUS Ummah? Mengapa tidak Jamaah DAN Ummah? Inilah yang cuba saya fikirkan, bahawa apakah ada kontra di antara kedua-duanya, lantas perlu memilih satu antara dua, atau saya perlu lari dari dua pilihan itu, dan sebaliknya berfikir di luar kotak?
Pertamanya, saya perlu memasang pasak, bahawa berjemaah itu bukan sahaja tuntutan Syariat, malah ia sebenarnya adalah Sunnatullah. Allah SWT telah menetapkan fitrah manusia yang berhajatkan kepada hidup berkumpulan. Sendirian itu sunyi, lantas Adam memerlukan kepada Hawwa. Sekumpulan itu sukar, lantas manusia berkumpul-kumpulan dan saling bertukar hasil untuk memenuhi keperluan hidup masing-masing. Kumpulan nelayan perlukan kepada kumpulan petani. Kedua-dua kumpulan itu perlu pula kepada kumpulan penternak, lantas hasil keperluan itu, timbulnya kumpulan peniaga yang konsep asalnya adalah untuk saling membantu mengisi keperluan sesama kita.
Itu adalah fitrah manusia yang perlukan Jamaah untuk mengisi keperluan hidupnya.
Islam sebagai agama fitrah, menjadikan konsep berjemaah itu sebagai kerangka teras ajarannya. Peranan manusia sebagai Khalifah adalah untuk mengimarahkan hablun minannaas. Kita saling berkhidmat di antara satu sama lain, kerana kita khalifah kepada Allah yang mahukan kita bersyukur kepada-Nya dengan melakukan kebaikan sesama manusia. Manakala kita sebagai hamba Allah, Islam mengajar kita menegakkan ibadah dan syiar agama-Nya secara berjamaah. Kita dituntut solat berjamaah, dan hidup bermasyarakat.
Hal ini terjadi secara harmoni, kerana ia fitrah manusia.
Fitrah manusia memang mahu hidup berkumpulan. Sama ada mereka mahu berkumpul kerana bersepakat di atas satu idea dan agenda, atau pun mereka berkumpul kerana bersepakat menolak satu idea dan agenda. Dari satu kumpulan, mereka lari ke satu ‘perkumpulan’ yang lain. Seorang manusia memang sebahagian daripada kumpulannya.
Bukan sahaja di dalam hal ehwal agama, keperluan manusia kepada kumpulan juga merentasi semua itu, malah bagi sesiapa sahaja yang kenal manusia, akan sampai kepada kesimpulan yang sama.
John C. Maxwell, seorang tokoh Leadership Training pernah menulis di dalam bukunya, EQUIPPING 101, bahawa, ‘”one is too small a number to achieve greatness“. Tidak ada kejayaan yang dicapai secara bersendirian hatta Lone Ranger juga sentiasa di sisinya ada Tonto!
Jika di dalam soal kehidupan dan keperluannya, manusia hidup secara berjamaah, maka apatah lagi untuk urusan-urusan menegakkan agama Allah.
Suatu kesilapan, seandainya ada di kalangan kita yang beranggapan bahawa tanggungjawab mereka hanyalah menambah ilmu dan mengajak kepada kebaikan. Kita tidak hanya dituntut melaksanakan perkara-perkara yang baik, malah kita juga diperintahkan oleh Allah supaya menjauhi larangan-Nya. Amar makruf tidak mungkin dapat dipisahkan daripada nahi munkar. Para Rasul dan kita semua diperintah bukan sahaja mengajak manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, bahkan kita juga bertanggungjawab memastikan diri dan manusia lain terhindar daripada Taghut, iaitu segala sesuatu yang berlawanan dengan Allah, Tuhan yang al-Haq.
Apabila kita bertanggungjawab terhadap dakwah, kita perlu akur kepada tabiat jalan dakwah itu, sebagaimana Luqman memberikan tanggapan yang realistik kepada anaknya, ketika menjelaskan tentang kewajipan dakwah. Ia bukan senang sentiasa, malah sentiasa dicemburui dan ditentang oleh manusia lain.
Firman Allah SWT:
“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah Solat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.”
Realiti dakwah memang begitu.
Oleh kerana dakwah mempunyai tabiat yang sedemikian rupa, maka ia sekali lagi memerlukan kepada manusia yang memelihara fitrah diri mereka, iaitu melakukannya secara berjamaah. Mereka perlu merancang, membuat keputusan, melaksanakannya dan teguh terhadap kesan dakwah itu, secara berjamaah. Dalam erti kata yang lain, keperluan dakwah kepada Jamaah bukan sahaja datang dari perintah Allah yang Maha Mengerti akan hakikat manusia yang diCiptakan-Nya, malah melakukan dakwah secara berjamaah adalah fitrah.
Jika sudah bosan membaca tentang faedah bekerja secara berjamaah dari buah fikiran sesama Muslim, mari kita renungkan kepada pandangan John C Maxwell yang cuba menjelaskan kepada ‘jamaah’nya di gereja, ahli korporat di pejabat, malah ahli bagi sebuah keluarga, mengapa kita mesti berjamaah:
1. Teams involve more people, thus affording more resources, ideas and energy than would an individual.
2. Teams maximize a leader’s potential and minimize her weaknesses. Strengths and weaknesses are more exposed in individuals.
3. Teams provide multiple perspective on how to meet a need and reach a goal, thus devising several alternatives for each situation.
4. Teams share the credit for victories and the blame for losses. This fosters genuine humility and authentic community.
5. Teams keep leaders accountable for the goal.
6. Teams can simply do more than an individual.
Tegasnya, di antara sudut kesempurnaan ciptaan Allah terhadap manusia, terletak kepada kepatuhannya memelihara fitrah, bahawa manusia hidup berjamaah.
UMMAH CENTRIC VS. JAMAAH CENTRIC: PELURU YANG TERLEPAS SASAR
Ketika idea ini dikemukakan oleh al-Fadhil al-Ustaz Maszlee Malik di melalui artikelnya di Majalah I, saya lihat hala tujunya menjurus kepada sasaran yang betul. Apa yang banyak ditegaskan melalui artikel itu adalah soal membetulkan pemikiran agar tidak terbelenggu oleh kepentingan Jamaah. Sebaliknya semua orang mesti sedar bahawa dirinya dan jamaahnya adalah sebahagian daripada Ummah. Maka keperluan dan kehendak Ummahlah yang sepatutnya diberikan keutamaan. Dengan itu kita akan berhenti bergeseran sesama Jamaah, atas roh Ummah yang menjadi pegangan.
Akan tetapi, apabila idea tersebut dicanaikan melalui ceramah yang disampaikannya di kediaman al-Fadhil al-Akh Hafiz Firdaus, saya berubah pandangan. Saya cuba meletakkan diri saya di tempat pelajar yang mendengar ceramah tersebut, dan saya menjadi keliru. Subjek yang menjadi sasaran dan kritik bukan lagi pada permasalahan SIKAP TAASUB setiap kumpulan terhadap kumpulan lain, tetapi kepada konsep berjamaah itu sendiri.
Mungkin al-Fadhil Maszlee tidak bermaksud demikian, tetapi kesan ceramahnya menyebabkan pelajar sinis dan memandang rendah kepada semua kumpulan Islam yang wujud di kampus malah di tengah masyarakat. Ketawa sinis penceramah dan peserta terhadap beberapa senario Jamaah, ternyata mengheret perkumpulan Islam untuk berasa amat tersinggung, seolah-olah Jamaah dan kumpulan Islam, adalah pelakon drama komedi yang lawaknya lucu tetapi menyusahkan orang ramai.
Saya kira, isteri dan anak-anak kepada tahanan ISA, keluarga pendakwah yang terbunuh di Memali malah al-Syahid Sayyid Qutb yang hilang nyawa di tali gantung, terpaksa menempuh segala kesusahan hidup itu akan amat terguris hati mereka kerana impression yang terhasil dari ceramah tersebut ialah, pengorbanan selama ini, hanyalah bagi menjayakan drama lucu Jamaah Centric mereka!
Saya teringat kepada kisah seorang artis Hollywood yang terpilih untuk menjadi pengacara sebuah program anugerah. Lawak jenakanya sangat menghiburkan dan dia telah berjaya menghidupkan program tersebut sehingga beroleh pelbagai komen positif media dan rakan. Tetapi apabila beliau bertanyakan pandangan ayahnya, beliau menjawab, “YOU HURT TOO MANY PEOPLE!“. Ya, lawak yang sinis selalunya menghiris.
Apabila manusia yang fitrah perlu kepada Jamaah untuk merealisasikan keperluan dan tujuan hidupnya, maka mereka perlu kepada disiplin dan adab berjamaah. Soal komitmen (intima’), disiplin bekerja, dan kerahsiaan organisasi (sirr), adalah hasil pelajaran ahli gerakan Islam daripada dakwah pertama oleh Rasulullah SAW. Ia bukan idea-idea budak kampus. Namun, kelakuan-kelakuan mikro oleh pelajar di kampus, menjadi bahan sanggahan konsep Amal Jama’ie yang makro. Kerana mahu menyindir anak kecil di padang, ibu di rumah turut terkena.
Perbalahan antara perkumpulan Islam bukanlah berpunca daripada konsep Amal Jama’ie. Ia adalah masalah SIKAP dan CARA BERFIKIR.
Sepatutnya Ummah Centric dan Jamaah Centric memfokuskan pembetulan mereka kepada persoalan SIKAP itu tadi. SIKAP yang ada pada semua kumpulan Islam, dan bukannya menyalahkan Jamaah. Jangan kerana marahkan nyamuk, habis kelambu dibakar.
SIKAP dan CARA BERFIKIR yang saya sebutkan tadi, bukan sahaja mencetuskan pelbagai masalah di kalangan pendukung gerakan Islam, malah ia mencakupi seluruh aspek kehidupan kita termasuklah kepada persoalan berMAZHAB. Mungkin artikel PAKSI ISLAM: SYAKHSIAH ATAU HUJAH? yang pernah saya tulis, boleh menjelaskan secara panjang lebar tentang hal ini.
Jika SIKAP dan CARA BERFIKIR yang berpenyakit itu tidak diperbetulkan, ia hanya mengundang kepada bercambahnya masalah asal yang ingin dihapuskan.
Misalnya, isu MAZHAB. Kita cuba merawat penyakit Taasub kepada Mazhab yang banyak menimbulkan masalah kepada Ummah. Tetapi yang kita perbetulkan adalah maklumat tentang mazhab, dan bukannya SIKAP. Lantas, daripada sekumpulan manusia yang obses dengan al-Imam al-Syafie, timbul pula sekumpulan manusia yang obses dengan al-Imam Ibn Taimiyah. Daripada wujud hanya satu kumpulan manusia taasub, muncul pula dua kumpulan manusia taasub yang berlaga sesama sendiri.
Mengapa hal ini boleh terjadi? Pada kiraan saya, masalah bukan terletak pada MAZHAB, sebaliknya pada SIKAP dan CARA BERFIKIR yang salah. Mereka yang meninggalkan mazhab, beralih kepada al-Imam Ibn Taimiyah dengan membawa gerabak SIKAP yang sama. Taasub lawan Taasub, Islam Liberal juga yang akhirnya tersenyum gembira!
Apabila al-Fadhil al-Ustaz Maszlee Malik mengolah ceramah Ummah Centricnya seperti yang saya tonton melalui VCD tersebut, ia menjatuhkan maruah semua kumpulan Islam yang ada. Akibatnya, masyarakat pelajar akan lari daripada semua kumpulan Islam tersebut, dan berkumpul mengelilingi Ustaz Maszlee. Mereka lari dari semua Jamaah untuk berkumpul membentuk  ‘Jamaah’ baru. Walaupun kumpulan bebas-jamaah ini tiada nama, namun watak dan cara berfikir mereka akan membuat pusingan yang sama iaitu taasub menolak Jamaah-jamaah lain, sehingga tanpa disedari membentuk satu kumpulan yang tidak berjamaah secara taasub. Maka daripada tiga, empat atau lima pergeseran, bertambah pula menjadi enam pergeseran.
Mengapa semua itu terjadi? Puncanya terletak pada peluru yang hilang sasar. Ummah itu rumah, Jamaah itu kelambu, sedangkan yang mengganggu ahli rumah tersebut adalah nyamuk. Maka nyamuklah yang sepatutnya dibanteras.
Nyamuk yang mengganggu Ummah adalah SIKAP NEGATIF dan CARA BERFIKIR yang salah.
Ada nyamuk jamaah yang menyalahgunakan nas untuk membuat justifikasi terhadap kebenaran jamaahnya. Namun, bukan Jamaah yang salah, bukan nas yang lemah, tetapi nyamuk yang buat perangai. Dr Izzat Khalil al-Azizi ketika memberikan nasihatnya kepada gerakan-gerakan Islam melalui buku Nasaa’ih wa Taujihaat al-Mufakkireen wa Ulama’ a-Islaam li al-Jamaa’aat wa al-Ahzaab al-Islaamiyyah terbitan al-Maktabah al-Islaamiyyah, Jordan, telah mengambil pendekatan yang realistik.
Beliau menyeru kepada semua gerakan Islam agar berSIKAP terbuka (infitaah) terhadap sesama gerakan Islam dan tidak menyempitkan pemahaman Jamaah di dalam nas Hadith sebagai merujuk kepada Jamaah masing-masing. Hal ini juga selaras dengan seruan Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi yang mesra dengan pelajar Malaysia di Jordan, yang sebahagiannya adalah saya dan al-Fadhil Maszlee Malik sendiri.
SIKAP yang sepatutnya diperbetulkan, dan bukannya konsep Jamaah.
Ada nyamuk jamaah yang tidak memanipulasi nas, sebaliknya mencubit gigit rakan-rakan gerakan Islamnya yang lain, lebih dari gigitannya terhadap musuh sebenar. Entiti diri sebagai sebuah NGO dan badan berdaftar sepatutnya menjadi pendekatan yang mengkayakan pengalaman sesama gerakan Islam, dan bukannya menjadi hujah untuk menyindir rakan yang ‘ditolak pendaftarannya’ kerana sering derita menanggung risiko dakwah.
“Itulah engkau, buat lagi kerja macam tu, kan dah kena tindakan. Tengok aku, aku join NGO, dakwah dapat buat, risiko tak dapat. Baru selamat!”, ujar ahli NGO kepada sebuah kumpulan yang tiada nombor pendaftaran.
Semua ini adalah sikap-sikap yang sepatutnya menjadi sasaran pembetulan oleh gagasan “Ummah Centric vs. Jamaah Centric“.
Kumpulan-kumpulan Islam di kampus sewajarnya mengajak sokongan melalui pembuktian upaya dirinya, berbanding sandaran terhadap kelemahan kumpulan lain. Sikap yang lebih pro aktif, sihat dan meletakkan mesej Islam sebagai keutamaan adalah jaminan kepada keharmonian kumpulan mikro manusia sebagai Jamaah, dan kumpulan makro manusia sebagai Ummah.
Lebih menghairankan saya ialah apabila Ummah Centric dituduh sebagai cetusan fahaman Wahhabiyyah, manakala Jamaah Centric dikaitkan dengan pengaruh kesufian. Aduh, apa kena mengenanya Muhammad bin Abdul Wahhab dan jalan sufi itu dengan KANSER SIKAP kita?
Saya masih ingat kepada satu siri talk show yang dikendalikan oleh Oprah Winfrey. Isu kali itu adalah tentang Racism. Menariknya ialah, ramai Black American meletakkan mind setting mereka bahawa jika mereka tidak mendapat pekerjaan atau mengalami kegagalan tertentu, maka puncanya adalah kerana mereka Black! Walhal mereka memang tidak layak untuk jawatan tersebut.
Ada juga orang Islam di Eropah yang menganggap bahawa mereka dipinggirkan oleh masyarakat kerana Islamnya mereka. Sedangkan mereka sendiri yang hidup berkelompok dan enggan berinteraksi dengan persekitaran.
Nasib kita macam ini sebab kita bumiputera. Pada hal kita yang malas berusaha.
Dia itu Ummah Centric, sebab dia Wahabi.
Yang ini pula Jamaah Centric, sebab dia Sufi.
Saya hampir lumpuh kewarasan diri akibat karenah pemikiran yang seperti ini!
Berjamaahlah, kecemerlangan itu kuncinya pada berjamaah. Simenkan satu Jamaah dengan satu jamaah yang lain dengan simen ukhuwwah dan pemikiran yang God-Centered. Hasil gabungan semua itulah nanti yang akan membentuk Ummah.
Kuncinya adalah pada meletakkan ALLAH sebagai matlamat. Tanpa God-Centered, sama ada kita akan menjadi self-centered, atau larut sebagai social-centered.
Jamaah itu keperluan, Ummah itu tujuan. Mestikah ada pertembungan?
“Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya” [al-Quran 42: 13]
ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Monday, December 13, 2010

ISLAM ITU TINGGI DAN TIDAK ADA YANG TINGGI DARINYA...

KETUANAN MELAYU : SANDIWARA DI HUJUNG HAYAT UMNO?



Dari katil wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, saya dibekalkan dengan akhbar untuk dibaca saban hari. Nampaknya isu ketuanan Melayu masih menjadi ratib yang tidak henti-henti keluar dari mulut pimpinan UMNO. Peliknya tidak pula istilah ini disebut ketika Konvensyen BN 2010 yang lepas.  Adakah Ketuanan Melayu tidak boleh menembusi pintu Dewan San Choon, Wisma MCA di mana konvensyen itu berlangsung?



             Ketuanan hendaklah kembali kepada Islam. Tidak dinafikan bahawa di Negara ini majoriti umat Islam ialah berbangsa Melayu, ini sepatutnya menjadi satu kebanggaan bangsa Melayu sendiri yang sudah menerima Islam beratus-ratus tahun yang lampau. Bukankah Islam itu anugerah daripada Allah SWT? Tidakkah hanya orang yang bertuah sahaja yang akan menerima anugerah daripada Allah SWT? Firman Allah SWT :

لَقَدْ مَنَّ اللَّهُ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولًا مِنْ أَنْفُسِهِمْ يَتْلُوا عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلالٍ مُبِينٍ
Yang bermaksud : Sesungguhnya benar-benar Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus diantara mereka seorang Rasul dari golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, membersihkan (jiwa) mereka, dan mengajarkan kepada mereka Al Kitab dan Al hikmah. dan Sesungguhnya sebelum (kedatangan Nabi) itu, mereka adalah benar-benar dalam kesesatan yang nyata. (Surah Ali-Imran : 164)

            Namun, dukacita sekali apabila ada orang Melayu sendiri yang menolak Islam. Menolak Islam bererti menolak ketuanan Islam. Bila menolak Islam ertinya menolak anugerah daripada Allah SWT. Seolah-olah Islam ini bahan buangan yang tidak layak untuk diterima, demikianlah barangkali tanggapan mereka yang mengenepikan Islam sebagai perundangan hidup mereka. Hari ini, seruan Islam yang menjadi tonggak orang Melayu ini diganti dengan nasionalis. Dengan slogan Ketuanan Melayu, mereka beria-ia menjulang keris tumpul itu kononnya merekalah pendekar sejati mempertahankan hak Melayu. Apa yang peliknya, di samping menjulang Ketuanan Melayu itulah, mereka telah terpalit dengan pelbagai tuduhan rasuah dan pecah amanah. Halalkah pelakuan rasuah ini di sisi mazhab Ketuanan Melayu? Melaungkan Ketuanan  Melayu dengan mengenepikan Islam hanya akan menjadikan bangsa Melayu lebih hina, bukannya lebih mulia.

            Bolehkah pimpinan sebegini menjadi tempat bergantung rakyat? Bukan sahaja orang bukan Melayu, bahkan orang Melayu sendiri akan disembelih dengan slogan seperti ini. Buktinya, di Kelantan yang majoritinya bangsa Melayu, dinafikan peruntukan pembangunan dan royalti minyak oleh Ketuanan Melayu. Melayu tidak terjaga, Islam pun terlepas dari genggaman. Hakikatnya, perjuangan Ketuanan Melayu ini hanyalah perjuangan sia-sia. Demi menyedarkan rakyat tentang hakikat inilah, saya gagahi diri saya untuk terus berjuang memberikan kefahaman agar rakyat menerima Islam sebagai addin (din dandaulah)Dalam hal ini, saya berterima kasih kepada salah seorang pemimpin UMNO Kelantan yang mendoakan kesihatan saya agar terus dapat berjuang menentang UMNO. Semoga doanya dimakbulkan Allah, insya-allah Amin.
            Marilah balik kepada Islam sebagai penyelesaian yang sempurna, yang datang daripada Allah SWT.  Ia sudah sempurna, tanpa cacat cela sedikitpun. 

Firman Allah SWT :
وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ صِدْقًا وَعَدْلًا لَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَاتِهِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
yang bermaksud : Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (Al-Quran) sebagai kalimat yang benar dan adil. tidak ada yang dapat merobah robah kalimat-kalimat-Nya dan dia lah yang Maha Mendenyar lagi Maha Mengetahui. (Surah al-An’am, ayat 115)

          Al-Quran ialah manual yang diturunkan oleh Allah SWT untuk mentadbir dunia. Justeru, apabila terdapat beberapa orang Raja-raja Melayu yang menyuarakan kebimbangan berkenaan nasih orang Melayu, saya sarankan supaya marilah kita merujuk kepada Al-Quran. Pada saya, Raja-raja Melayu berhak bimbang jika benar orang-orang Melayu terancam, tetapi marilah kita mencari penawar yang betul untuk penyakit yang berlaku. Tidak guna jika menggunakan ubat yang salah, penyakit tidak sembuh bahkan semakin melarat. Dalam hal ini, Ketuanan Melayu ialah ubat yang salah bahkan ia sebenarnya racun yang bisa.

            Al-Quran menyatakan bahawa sesuatu bangsa tidak mempunyai sebarang kelebihan ke atas  bangsa yang lain, yang melebihkannya hanyalah taqwa kepada Allah SWT. Renunglah sejenak sekali lagi firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (13
Yang bermaksud : Hai manusia, sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.  (Surah al-Hujurat, ayat 13)

          Kemuliaan tidak pernah bergantung kepada bangsa. Ia hanya wujud apabila sesuatu bangsa itu bertaqwa kepada Allah SWT. Bangsa Arab yang melakukan hampir kesemua jenis jenayah di dunia,  akhirnya menjadi mulia apabila menerima Islam. Jika bangsa Arab yang sedemikian jahil itupun dimuliakan Allah SWT dengan Islam, apa peliknya jika bangsa Melayu pun boleh dimuliakan oleh Allah SWT, syaratnya berpegang dengan Islam?

                Justeru, bolehkah kiranya saya meletakkan harapan kepada pihak Raja-raja Melayu agar membawa rakyat kembali kepada Islam sebagai penyelesaian terhadap masalah yang berlaku? Yakinlah, dengan Islam, Melayu akan terbela. Alhamdulillah, di Kelantan, saya telah menerajui kerajaan negeri selama 20 tahun dengan tidak pernah menyebut Ketuanan Melayu, namun orang Melayu tetap terbela dan terjaga. Manakala KDYMM Sultan Kelantan pula disayangi oleh semua bangsa di Kelantan. Kaum bukan Melayu pula tidak mempunyai sebarang masalah untuk berada di Kelantan.  Bimbang saya andainya Ketuanan Melayu disebut-sebut dan diulang-ulang, ia hanya akan memarakkan dendam dalam diam dan membakar di dalam senyap.

            Di sudut yang lain pula, Ketuanan Melayu jugalah yang telah menghapuskan tulisan jawi di sekolah-sekolah satu ketika dahulu sehingga hari ini melahirkan generasi yang buta al-Quran. Jawi yang menjadi tulisan asal bahasa Melayu di’kebumikan’ secara terhormat oleh Ketuanan Melayu . Ketuanan Melayu jugalah yang menghapuskan bantuan perkapita untuk sekolah agama rakyat dan Ketuanan Melayulah yang bertanggungjawab terhadap terhakisnya tanah rezab Melayu di seluruh negara. Jenayah Ketuanan Melayu ini sebenarnya cukup panjang untuk ditulis. Ia menyimpulkan bahawa Ketuanan Melayu tidak membawa apa-apa faedah untuk negara hatta untuk bangsa Melayu sekalipun.

            Marilah kita sama-sama mengingatkan satu sama lain tentang akhirat. Akhirat yang menjadi tempat tuju samada Melayu atau bukan Melayu. Ia khusus untuk Allah SWT membalas setiap perbuatan manusia. Justeru, kita diperintahkan mengulang-ngulang peringatan ini beratus ribu kali sepanjang hidup kita melalui surah al-Fatihah yang wajib dibaca di dalam solat.  Tujuh ayat yang menjadi agenda utama hidup seorang muslim diulang baca sentiasa, dan satu daripada ialah peringatan tentang hari kiamat :

مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ    
Yang bermaksud :  Yang menguasai di hari Pembalasan.


            Yakinlah, tibanya kita di stesen yang bernama akhirat, Ketuanan Melayu tidak akan membawa apa-apa harga lagi di mahkamah Allah SWT!

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Wad 2, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian
6 Muharram 1432H / 13 Disember 2010M

Friday, December 3, 2010

minyak naik dok kutuk bagai nak rak...masa pilihanraya pangkah Babi Negara jugak..Bangang!!

"dalam masa tak sampai 6 bulan harga minyak naik lagi...ia tak  dihebohkan dalam media penjilat Umngok..diorang kata hanya diselaraskan ..dlm fb penjilat tahi umngok duk mnggila kutuk pakatan..depa ni tak sedar ke yang tahi yang duk depa jilat duk kenakan depa..otak lembu btollah...buat rakyat m'lysia yng pangkah umngok dulu korang memang BANGANG!!!!!!kerna korang zionist malaysia terus memerintah..."-pejuang rakyat

4-dalam-1: Harga petrol, diesel, gas, gula naik lagi


Harga petrol RON95, diesel, Petroleum Gas Cecair (LPG) dan gula naik mulai tengah malam ini. Ia berikutan keputusan kerajaan menyelaraskan kadar subsidi.

azlanPetrol RON95, dinaikkan 5 sen menjadikan RM1.90 seliter.

Dua hari lalu, petrol RON 97 naik sebanyak 15 sen kepada RM2.30 seliter. Kenaikan itu berikutan perubahan harga pasaran yang diapungkan sejak Julai lalu.


Harga diesel turut naik 5 sen menjadikannya RM1.80 seliter manakala gas LPG juga naik 5 sen menjadikan harganya RM1.90 sekilogram.
Harga gula pula naik 20 sen menjadikan harganya RM2.10 sekilogram.
azlanSemua harga baru berkuatkuasa pada jam 12.01 pagi esok. Ia didedahkan pada taklimat kepada editor di Putrajaya oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) .

Malaysiakini
 turut dijemput ke taklimat itu melalui panggilan telefon tetapi wartawan kami dihalang memasuki ibupejabat Unit Kordinasi dan Pelaksanaan di Pejabat Perdana Menteri, kemudiannya tanpa sebarang alasan.



Pengumuman rasmi mengenai kenaikan harga barangan tersebut dibuat malam ini.


Kali terakhir harga barangan meningkat adalah pada 15 Julai lalu. Ia membabitkan kenaikan 5-dalam-1. Barangan yang terjejas itu adalah dua gred petrol, diesel, gula dan gas.

Monday, November 22, 2010

salam eidul adha....

APA ERTI LEMBU DAN KAMBING?
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Hari Raya Korban menjelma lagi mengikut putaran alam.Perkara pertama yang tergambar adalah betapa meriahnya lembu  atau kambing atau kerbau mahu pun unta yang bakal ‘dibunuh’ (dikorbankan) nanti.

“Keluarga awak buat korban ke tahun ni?”
“Ada la 2 bahagian.Awak?”
“Ada la 1”

Ini adalah dialog yang biasa disebut bila tibanya Raya Korban.Apakah erti sembelihan binatang tersebut sebenarnya.

Adakah pada banyaknya berkorban?

Atau besar lembunya?

Atau sedap daging kambingnya?

Korban Kerana Allah

“Dan ceritakanlah (wahai Muhammad) yang sebenarnya kepada mereka tentang kisah kedua putera Adam,ketika keduanya mempersembahkan korban,maka korban salah seorang dari mereka berdua (Habil) diterima dan dari yang lain (Qabil) tidak diterima.Dia (Qabil) berkata, “Sungguh aku pasti membunuhmu!” Dia (Habil) berkata, “Sesungguhnya Allah hanya menerima (amal) dari orang yang bertaqwa”. –Al Ma idah,27-

YA! Hanya korban daripada mereka yang bertaqwa sahaja yang akan diterima oleh Allah.
Bukannya mereka yang beramal dan berkorban dengan riak,sombong,ujub,takabburmahu pun mahu menunjuk-nunjuk.Kerana sifat-sifat itu bukan sifat orang yang bertaqwa.
Nilai korban itu bukannya terletak kepada berapa banyak kuantitinya.Bukan juga berapa meluas publisitinya.Tidak juga pada orang yang berkorban.Tapi niat yang IKHLAS kerana Allah yang menjadi kayu ukur di sisi Allah.


 Untuk Islam

Orang kata ‘Cinta itu memerlukan pengorbanan’.

Jika kita mengaku cintakan Islam,apakah pengorbanan kita untuk Islam?

Maka korbankanlah mengikut kadar kemampuan masing-masing.Harta benda,wang ringgit,tenaga,buah fikiran hatta mengorbankan nyawa sekalipun,demi  bukti cinta kita pada Islam,berkorbanlah kita dengan penuh keikhlasan.

Sembelihlah Perasaan Kita

Dalam berukhuwah,adakalanya berlaku salah faham.Selisih pendapat itu asam garam dalam bersahabat.Namun tatkala ego dan tidak dapat berlapang dada menguasai diri,hubungan menjadi keruh.Malah ada yang melarat sehingga putus persahabatan dan hubungan.

Antara perkara yang paling sukar untuk dikorbankan adalah perasaan.Bukan mudah mengorbankan perasaan.Namun sukar itu adalah sangat indah jika kerana Allah.Korbankanlah perasaan ego kita demi kerana Allah.

Sembelihlah juga perasaan mazmumah yang ada dalam diri kita.Bunuhlah kesombongan,keangkuhan,keegoan dan takabbur dalam diri kita.Moga segalanya ikhlas kerana Allah.

SALAM AIDILADHA DAN SELAMAT BERKORBAN.

Wednesday, November 10, 2010

Amalkan 40 Perkara Dalam Islam Untuk Mencari Keredhaan Allah

Sahabat yang dirahmati Allah,
Terdapat satu hadis yang  ringkas tetapi merangkumi perkara-perkara penting dalam ajaran Islam yang disampaikan oleh Nabi s.a.w dalam satu majlis. Alangkah baiknya jika hadis ini dapat kita hafal, fahami dan amalkan dalam kehidupan kita sebagai seorang Muslim Mukmin kerana ia mengandungi banyak manfaatnya dalam rangka kita mencari keredhaan Allah s.w.t.

Dari Salman r.a. berkata, "Saya telah bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang 40 hadis yang baginda sendiri telah bersabda bahawa sesiapa di kalangan umat baginda s.a.w. yang menghafal hadis itu akan masuk Syurga. "

Nabi s.a.w bersabda maksudnya :

"1. Kamu beriman kepada Allah s.w.t.

2. Hari akhirat.

3. Para malaikat.

4. Kitab-kitab Allah.

5. Para Nabi.

6. Kebangkita selepas mati.

7. Takdir baik dan buruk adalah daripada Allah s.w.t.

8. Bersaksi bahawa tiada tuhan selain daripada Allah s.w.t dan sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w. adalah Rasul-Nya.

9. Mendirikan solah (fardu) pada waktunya dengan wudhu' yang sempurna.

10. Menunaikan zakat.

11. Berpuasa pada bulan Ramadhan.

12. Mengerjakan haji jika kamu mempunyai harta.

13. Hendaklah bersolah (sunat) sebanyak 12 rekaat dalam sehari semalam. (maksudnya solat sunat mengiringi solat fardu ; dua rekaat sebelum  subuh, empat rekaat sebelum  zuhur. dua rekaat selepas zuhur, dua rekaat selepas magrib dan dua rekaat selepas isyak)

14. Jangan kamu meninggalkan solat witir pada setiap malam.

15. Jangan kamu menyengutukan Allah s.w.t dengan sesuatu pun.

16. Jangan kamu menderhakai kedua ibu bapamu.

17. Jangan kamu makan harta anak yatim secara zalim.

18. Jangan kamu meminum arak.

19. Jangan kamu berzina.

20. Jangan kamu bersumpah dusta dengan nama Allah s.w.t.

21. Jangan kamu memberi persaksian palsu.

22. Jangan kamu mengikut hawa nafsu.

23. Jangan kamu mengumpat saudaramu yang Islam.

24. Jangan kamu menuduh wanita yang suci dengan zina (demikian juga lelaki yang suci).

25. Jangan kamu berdengki terhadap saudara Islammu.

26. Jangan kamu bermain (dengan permainan yang sia-sia).

27. Jangan kamu leka bersama orang yang lalai.

28. Jangan kamu mengatakan kepada orang yang pendek :"Wahai sipendek" dengan niat yang mengaibkannya.

29. Jangan kamu mempersenda-sendakan seseorang pun dikalangan manusia.

30. Jangan kamu membawa mulut (mengadu domba) antara dua orang yang bersaudara.

31. Bersyukurlah kepada Allah s.w.t. di atas nikmat-Nya.

32. Bersabarlah di atas bala dan musibah.

33. Jangan kamu berasa terselamat daripada azab Allah s.w.t.

34. Jangan kamu memutuskan tali persaudaraan.

35. Eratkan tali persaudaraan dengan ahli keluargamu.

36. Jangan kamu melaknat sesuatu pun daripada makhluk ciptaan Allah s.w.t.

37. Perbanyakkan sebutan Subhanallah, Alhamdulillah  dan Lailahaillallah.

38. Jangan kamu meninggalkan solah Jumaat dan solah dua hari raya.

39. Ketahuilah bahawa apa-apa (susah atau senang) yang telah ditakdirkan untuk kamu pasti tidak akan terlepas daripada kamu dan apa-apa sahaja yang tidak ditakdirkan untuk kamu, pasti tidak akan datang kepada kamu.

40. Jangan meninggalkan membaca al-Qur'an walau dalam apa-apa keadaan sekalipun."

Salman r.a berkata bahawa beliau telah bertanya Nabi s.a.w. tentang ganjaran yang akan diberi untuk sesiapa yang menghafal hadis tersebut. Baginda menjawab : "Allah s.w.t akan membangkitkan mereka bersama dengan para Nabi dan ulama'. "

Sahabat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita hafal. fahami dan laksanakan 40 perkara yang dinyatakan di dalam hadis di atas. Semoga Allah s.w.t mengampuni kesalahan-kesalahan kita  dan dengan kemurahan dan kasih sayang-Nya. Dia akan masukkan kita ke dalam golongan hamba-Nya yang soleh. Kurniaan ini adalah tidak mustahil memandangkan kedudukan Allah s.w.t. Yang Maha Pemurah.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan pertolongan Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan hanya kepada-Nya aku kembali."
(Surah Hud ayat 88).


by:Abu Basyer...